Unit Pengurusan Masjid Al-Ghaffar, Pejabat Agama Islam Daerah Jasin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada mereka yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam penganjuran Forum Bicara Agama: Lambaianmu Dinanti, Pemergianmu Dirasai dan Pulangmu Berkualiti pada 1 Julai yang lalu.
Bertempat di Masjid Al-Ghaffar Daerah Jasin, program yang menampilkan dua penceramah istimewa iaitu Ustaz Wan Akashah bin Abdul Hamid dan Ustazah Siti Nor Bahyah bt Mahamood telah berjaya menarik kehadiran lebih seribu jemaah untuk hadir ke masjid pada malam tersebut. Forum ini turut dihadiri oleh Y.B. Datuk Wira Haji Ahmad bin Hamzah, Ahli Parlimen Jasin sekaligus menutup rasmi Kursus Asas Haji tahun 2011.
Intisari daripada forum tersebut ialah penceramah mengingatkan jemaah berkenaan kepentingan menjaga solat selain mengimbau peristiwa Isra’ dan Mikraj. Selain itu, penceramah turut mengupas berkenaan persediaan sebelum, semasa dan selepas menunaikan ibadah Haji. Selain itu, penceramah turut mengulas dan menasihati sikap segelintir jemaah yang mengerjakan fardu haji untuk mengejar gelaran haji atau hajjah.
Kesimpulannya, pihak penganjur bersyukur kerana forum ini telah dilaksanakan dengan jayanya. Sekalung penghargaan kepada urusetia khususnya Sahabat Masjid dan kakitangan Pejabat Agama Islam Daerah Jasin yang membantu melancarkan perjalanan program kali ini. Semoga segala usaha kita diberkat olehNya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan